Apabila dikatakan dari mata turun ke hati. Mungkin juga ada sedikit kena-mengena dengan kata-kata yang menyebut, bahawa kecantikan itu terletak pada mata yang memandang.
Tetapi, dalam kes yang ingin dilaporkan ini, kecantikan itu benar-benar berada di hadapan mata anda iaitu bulu mata yang lebih panjang.
Jadi, jika anda fikir telah menyaksikan semuanya apabila bercakap mengenai dunia kosmetik dan pembedahannya, anda mungkin perlu melihatnya secara lebih dekat. Bukan rambut sahaja yang boleh ditanam semula, tahu? Tetapi kini, bulu mata juga turut memasuki senarai.
Khabarnya, pembedahan pemindahan bulu mata kian popular selepas kemunculan suntikan botox yang kontroversi sedikit masa dulu. Malah, ia seolah-olah mahu menjadi satu lagi prosedur yang mesti bagi kaum wanita. Tidak ketinggalan juga, bagi sesetengah lelaki.
Menggunakan prosedur yang dirintis oleh industri bagi kaum lelaki yang mengalami masalah keguguran rambut dan botak, pakar bedah menggunakan pula teknik ‘tutup dan jahit’.
Tujuannya bagi memberikan bulu mata yang lebih panjang yang dianggap boleh membuatkan wanita kelihatan lebih cantik dan menarik yang sebelum ini hanya boleh diperoleh dengan melekatkan bulu mata palsu ataupun mengenakan maskara yang tebal.
“Bulu mata yang panjang dan tebal menjadi tanda kecantikan, di mana-mana sekalipun. Transplan bulu mata memberikan kesan yang sama kepada mata sebagaimana impak pembesaran payudara terhadap bentuk tubuh,’’ kata Dr. Alan Bauman, orang kuat di sebalik ‘kegilaan’ baru ini.
Ketika memberitahu Reuters pada satu bengkel pembedahan bulu mata pertama yang diadakan secara langsung di dunia, beliau menyifatkannya sebagai prosedur baru untuk dimanfaatkan oleh orang ramai dan dijangka akan mencetuskan satu fenomena baru.
Menerusi prosedur tersebut, satu torehan kecil dibuat pada bahagian belakang kulit kepala untuk memindahkan kira-kira 30 hingga 40 folikel rambut yang kemudiannya akan dijahit satu persatu di atas kelopak mata pesakit.
Pesakit cuma dibius setempat dan diberikan pelali cahaya dalam pembedahan yang menelan belanja AS$3,000 (kira-kira RM12,000) sebelah mata.
Sejarahnya, teknik seumpama itu hanya dijalankan ke atas pesakit yang mengalami kecacatan kongenital (sejak lahir) dan luka terbakar atau akibat kemalangan, pada mata mereka.
Ia turut mendapat tempat di kalangan para penderita gangguan trichotillomania yang suka menarik rambut sendiri sehingga menjejaskan penampilan mereka.
Fungsi hakiki bulu mata adalah untuk bertindak sebagai perisai kepada deria penglihatan daripada dimasuki debu dan sampah yang boleh mengakibatkan keradangan.
Bagaimanapun, kejayaan rawatan itu tersebar dari mulut ke mulut dan sehingga kini, kira-kira 80 peratus daripada surgeri pemindahan bulu mata dilakukan atas dasar kosmetik.
Seorang model Florida, Erica Lynn, 27, yang berambut panjang keperang-perangan, implan payudara dan hidung yang menjalani pembedahan kosmetik, telah memilih pemindahan bulu mata kira-kira tiga tahun lalu kerana sudah bosan memakai bulu mata palsu.
“Apabila saya mendapat tahu mengenai teknik ini, saya terus melakukannya. Semua orang yang mendapat tahu tentangnya daripada saya juga tidak sabar-sabar untuk berbuat demikian. Bagi saya, bulu mata membuatkan kita kelihatan hebat. Anda tidak akan pernah cukup dengannya,’’ ujar Lynn.
Bauman melakukan antara tiga dan empat pemindahan bulu mata sebulan di Florida manakala Dr. Sara Wasserbauer, pakar bedah pemulihan rambut dari California Utara pula berkata, dia sedia dibanjiri dengan permintaan yang begitu banyak daripada para pelanggan.
Beliau berseloroh: “...Kalau saya caj AS$10 bagi setiap rundingan, saya boleh jadi wanita kaya kerananya.’’ Apa pun, jangan terlampau teruja kerana pembedahan yang dimaksudkan tidak sesuai untuk semua orang.
Bulu mata yang dipindahkan akan tumbuh sama seperti pertumbuhan rambut di atas kepala. Ada ketikanya, ia perlu dipotong. Rambut yang terlalu kerinting akan menyebabkan bulu mata kelihatan pelik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan