Halaman

Ahad, 3 April 2011

Home » , » Masalah Mata Kerana Solekan?

Masalah Mata Kerana Solekan?

Solekan mata boleh menyerlahkan kecantikan dan menampilkan kelainan, tetapi beberapa perkara perlu diberi perhatian kerana ia juga boleh menyebabkan jangkitan mata.

Antara bahan solekan mata asas ialah pembayang mata, maskara dan pensil mata. Walaupun kebanyakan alat dandanan diri ini dikategorikan sebagai hipo alerginik (tidak menyebabkan alahan), ia boleh mendatangkan masalah jika dipakai untuk tempoh panjang dan tidak dibersihkan dengan baik.

Semua kosmetik mata mengandungi pengawet yang merencatkan pertumbuhan bakteria. Bagaimanapun, bakteria daripada kulit boleh berpindah ke pembayang mata atau maskara selepas ia digunakan. Bahan pengawet ini kadangkala boleh menyebabkan rasa gatal pada individu sensitif.

Masalah mata boleh berlaku apabila anda:

- Kerap berkongsi alat solekan mata

- Menggunakan alat solekan yang luput tarikh

- Membeli alat solekan berkualiti rendah

- Tidak mematuhi arahan pemakaian

Faktor di atas boleh menyebabkan keradangan pada mata. Meskipun kebanyakan keradangan tidak serius, ia boleh menjejaskan aktiviti harian anda. Malah, anda perlu memberi perhatian serius bagi mengelak parut atau kerosakan kekal pada mata kerana mata adalah organ yang sangat sensitif dan mudah cedera.

Oleh kerana mata sangat sensitif, parut kecil boleh menyebabkan pandangan anda terjejas dan paling membimbangkan, parut itu kekal sepanjang hayat.

Kandungan lanolin (dalam bentuk krim), talkum dan polimetil metakrilat dalam pembayang mata serta fenilmekurik asetat (sebagai pengawet maskara) boleh menyebabkan alahan pada individu yang sensitif. Untuk individu yang sensitif, berhati-hati memilih produk solekan supaya tidak mendatangkan masalah seperti sakit mata (konjunktivitis) hanya kerana mahu cantik.

Beberapa langkah boleh diambil untuk mengelak masalah ini iaitu:
  • Gunakan alat mekap berkualiti; sebaik-baiknya bukan setiap hari
  • Buang alat mekap yang luput tarikh
  • Pastikan pensil mata sentiasa diasah dengan baik. Jangan biarkan kayu pensil terkena mata dan melukakan kulit
  • Bila pensil mata menjadi keras, tandanya sudah sampai masa untuk ditukar
  • Hentikan solekan mata jika anda mengalami sakit mata 
  • Cuci tangan sekerap mungkin dan elak menyentuh mata ketika anda sakit mata
  • Jangan berkongsi alat mekap dengan orang lain, termasuk berus, tuala tangan atau kaca mata hitam
  • Rehatkan mata sekerap mungkin. Tekap mata dengan tuala atau kapas bersih yang lembap (sama ada dengan air suam atau sejuk). Tuala lembap yang suam boleh mengurangkan ketidakselesaan dan menghilangkan keletihan mata. Tuala sejuk pula mengurangkan rasa gatal dan keradangan
  • Bersihkan solekan mata setiap hari sebelum tidur. Guna cecair pembersih mata dengan berhati-hati, jangan sampai ia termasuk ke dalam mata
  • Jangan guna air liur untuk ‘melembutkan’ mekap yang menjadi keras kerana air liur kita mengandungi banyak bakteria
  • Pakai kanta lekap terlebih dulu sebelum menyapu solekan mata

Tiada ulasan:

Catat Ulasan